You Are Here: Home » Artikel » Ramadhan Bulan Yang Dirindui

Ramadhan Bulan Yang Dirindui

Ramadhan Bulan Yang Dirindui

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang

AlhamduliLlah, segala pujian hanya sanya milik Allah SWT. Selawat dan salam keatas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para Sahabat serta semua Muslimin Muslimat yang mengikut jejak sunnah baginda hingga ke hari kemudian.
Pertamanya ucapan Syukur dipanjatkan kepada Allah SWT atas segala kurniaan dan pemberianNya, khususnya atas peluang yang diberikan untuk kita semua sehingga ke saat ini, mampu bernafas dengan nafas Ramadan yang penuh dengan kelebihan.

BarakaLlah & Tahniah kepada semua ummat Islam seluruh dunia diatas kejayaan untuk bersama memasuki bulan Ramadhan al-Karem ini. Alhamdulillah, doa-doa yang kita bacakan sepanjang Rejab dan Syaaban lalu, agar Allah memberi kesempatan untuk bersama Ramadhan telahpun dimakbulkan Allah. Pandanglah kiri dan kanan kita, mungkin ramai rakan dan sababat handai kita yang tidak lagi diberi peluang seperti kita.. maka banyakkanlah bersyukur.

Inilah juga simbolik perkenan Allah atas permintaan kita sebelum-sebelum ini agar dipanjangkan usia dalam keberkatan. Mungkin angka kiraan umur kita tidakah bertambah, namun hakikat sempatnya kita bersama Ramadhan adalah peluang untuk kita menggandakan pahala belipat kali ganda ibarat kita ditambah usia 70 tahun lagi. Apalah gunanya umur yang panjang kiranya tidak berisi dengan ibadat dan kebajikan.

Sesungguhnya Ramadhan ini adalah BULAN RAHMAT, kerana rahmat dan kasih sayang Allah turun mencurah-curah kepada hambaNya. Kasih sayang Allah yang luas meliputi segala sesuatu ditebarkan sebesar-besarnya buat semua hambaNya, maka barangsiapa yang masih tidak mendapat rahmat Allah pada bulan ini, seolah-olahnya tiada lagi baginya sebarang rahmat. Nikmat kesenangan dan keamanan bagi kita di dunia ini adalah dengan rahmat Allah (sedangkan banyaknya pelanggaran arahan Allah yang berlaku), bahkan peluang untuk masuknya kita kesyurga di akhirat nanti juga adalah dengan rahmat Allah.

Maka semaikankan benih-benih kasih sayang sesama kita ummat Islam. Sabda Rasulullah memberi satu antara formula kasih sayang ;

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Tidak sempurna Iman seseorang sehinggalah dia meyukai sesuatu keatas saudaranya sebagaimana dia suka (perkara tersebut) berlaku ke atas dirinya..”

Ramadhan juga adalah BULAN KEAMPUNAN, bulan dibuka pintu keampunan Allah dengan seluas-luasnya. Itulah yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu-pintu syurga dengan kedatangan Ramadhan sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah SAW. Peluang memasukinya adalah terbuka kepada sesiapa sahaja.Tiada seorang pun yang tidak mampu untuk memasuki pintu taubat ini kecuali mereka yang sememangnya tidak mahu memasukinya.

“Setiap ummatku akan memasuki syurga, KECUALI mereka yang enggan..” maka tanya para sahabat – Siapakah yang enggan itu Ya Rasulullah? “Siapa yang mentaatiku maka dia akan memasuki syurga, adapun mereka yang menyanggahiku, mereka itulah orang-orang yang enggan”

Maka beruntunglah mereka yang memperbanyakkan istighfar dan bertaubat pada bulan ini. Bahkan pembersihan diri daripada dosa adalah kunci kepada segala permintaan. Bagaimana mungkin doa kita akan dimakbulkan jika penghijabnya masih tebal membalut diri iaitu dosa-dosa yang masih belum terampun.

Ramadhan juga adalah BULAN KEMENANGAN. Ia bulan di mana para mukmin mengisytiharkan kemenangannya ke atas hawa nafsu. Mengesahkan kedudukan nafsu yang tunduk kepada Iman, meskipun ia meronta dan merintih untuk dilayani. Disepanjang bulan ini, Mukmin kembali menginsafi hakikat dirinya yg sebenar – memenuhi tuntutan Ruh dan bukannya runtunan jasad dan nafsu. Di sinilah hakikat sebenar kekuatan manusia. Meskipun pada logik akalnya, fizikal tanpa makanan adalah lemah dan tidak mampu beraksi, namun sejarah membuktikan betapa banyak kemenangan Islam dimedan perang adalah berlaku pada Ramadhan.
quranrr

Dan Ramadhan juga adalah BULAN PENYATUAN. Ia memupuk penyatuan hati Mukmin agar turut merasai penderitaan saudaranya yang berlapar. Si Kaya dan si Miskin sama-sama berlapar sepanjang siang pada waktu yang sama, mereka turut mendapat peluang yang sama dalam merebut ganjaran Ramadhan yang ditawarkan.
Maka ayuh lah kita sesama Muslim, terlalu banyak persamaan antara kita untuk dijulang. Kita rapatkan saff dan penyatuan hati semua Muslim. Usah merasa haprak dan hina kerana Islam telahpun memuliakan kita. Bumi ini adalah amanah untuk kita makmurkan.. Manusia lain juga adalah amanah untuk kita damaikan…

Akhirnya, sekali lagi kalungan tahniah kepada sekelian Muslimin dan Muslimat khususnya di Kemaman. Moga-moga Ramadhan kali ini mampu kita imarahkan dengan jauh lebih baik daripada yang sebelum-sebelumnya. Semoga Allah menerima segala amal soleh kita. TaqabbalaLlah minkum…


Ustaz Mohd Zulkifli Ibrahim
YDP ISMA Kemaman 2015

© 2012 Theme By Momizat

Scroll to top