You Are Here: Home » Artikel » Tazkirah » Doa di awal tahun Hijrah ini

Doa di awal tahun Hijrah ini

Doa di awal tahun Hijrah ini

Dengan namaMu ya Allah yang Maha Pengasih..

Segala pujian bagi Allah tuhan penguasa Alam. Rahmat dan sejahtera atas penghulu kami Nabi Muhammad saw, ahli keluarga serta para sahabat baginda juga yang menurut jejak langkah mereka sehingga hari kemudian.

Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau lah sahaja yang kekal selamanya tanpa permulaan dan pengakhiran. KelebihanMu sangat besar dan kemurahanMu sangatlah diharapkan. Sesungguhnya telah berlalu tahun yang lama, dan kini menjelang tahun baru Hijrah, maka kami memohon keampunan atas segala kekhilafan kami sepanjang tahun yang berlalu dan juga memohon segala kebaikan yang ada pada tahun yang mendatang..

Kehadiran tahun baru ini juga mengingatkan kami bahawa kini sudah hampir satu kurun lamanya dunia tidak merasai kerahmatan daripada pemerintahan khilafah Islam. Manusia semakin parah dengan pelbagai krisis mencari formula dan erti kedamaian, bahkan alam semesta turut merintih menunggu kebangkitan semula Khilafah ini..

Ya Allah Ya Tuhan Yang Maha Agung..

Kami memohon dariMU agar diringankan serta dihilangkan kesedihan dan keperitan yang telah lama terlakar pada wajah saudara-saudara kami d Palestin, Syiria, Mesir, Yaman, Iraq, Kashmir, Fattani, Mindanao, Myanmar, Chechnya dan lain-lain tempat yang mungkin tidak diketahui oleh kami.. Tetaplah Engkau bersama mereka Ya Allah, dan janganlah dibiarkan musuh-musuhMu menguasai mereka.

Juga Ya Allah yang maha berkuasa.. Kami panjatkan doa agar sudilah Engkau mengurniakan nikmat keamanan kepada negara kami Malaysia.. juga sekelian negara ummat Islam. Peliharalah negara kami daripada sebarang bala bencana walau dari mana sekalipun arah datangnya.. juga bencana yang terhasil daripada tangan manusia-manusia sendiri. Janganlah Engkau menghukum kami akibat tindakan mereka yang bodoh lagi zalim kalangan kami.

Wahai Tuhan Yang Gagah lagi bersifat Murka…

Kami kini melalui ujian-ujian getir dengan keadaan ekonomi yang semakin menyempitkan hidup kami, terutama bagi saudara-saudara kami yang kurang berkemampuan. Di tambah dengan tindakan beberapa pemimpin kami yang bahkan memburukkan keadaan dan ehwal kami. Maka Ya Allah.. tuhan penguasa segala kerajaan, Engkau maha berkuasa menaikkan dan menjatuhan kedudukan.. Islahkanlah pemimpin kami juga pemegang tampuk urusan kami, berikanlah kuasa pemerintahan kami kepada mereka yang takutkan diriMu serta yang paling bertaqwa kalangan kami..

Ya Qahhar, Ya Jabbar.. Barangsiapa kalangan mereka yang menginginkan keburukan buat Islam dan ummatnya serta hanya mementingkan nafsu serakah mereka.. maka jadikanlah tindakan mereka membawa kehancuran kepada diri mereka sendiri..

Ya Allah Ya Tuhan kami,

Untitled-9Dengan tibanya tahun baru ini, kami memohon agar tepelihara kami sekelian daripada tipudaya syaitan yang terlaknat juga daripada bala tenteranya. Kami juga memohon akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu ammarah. Kami mohon juga daripadaMu Ya Allah, akan perasaan sedia membuat kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang boleh medekatkan diri kami kepadaMu.

Ya Allah Ya Tuhan kami , Sesungguhnya Engkau mengetahui betapa besar cabaran buat kami di akhir zaman ini. Betapa kuatnya arus-arus Materialisme, Liberalisme, Sekularisme dan lainnya yang ingin menyelewengkan jatidiri kami.. Maka kami mengadu kepadaMu betapa lemahnya kekuatan kami, sedikitnya helah kami dan hinanya kami pada pandangan manusia . Ya Tuhan yang Maha Penyayang mengatasi segala yang menyayangi , Engkau adalah Tuhan orang orang yang lemah dan Engkau adalah Tuhan kami.. maka berikanlah kekuatan kepada kami agar mampu istiqamah pada jalanMu serta melaksanakan segala suruhanMu Ya Allah.. Tuhan Yang Maha Agung lagi Mulia, yang sebaik-baik mengurniakan rahmat..

Selawat dan Salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, Ahli keluarga serta Sahabat baginda. Serta segala puji-pujian bagi Allah tuhan sekelian alam..

—–
Abi.Usamah
Muharram 1437
fb.com/ustaz zul ibrahim

© 2012 Theme By Momizat

Scroll to top