You Are Here: Home » Artikel » Hamba Yang Merdeka

Hamba Yang Merdeka

Hamba Yang Merdeka

BismiLlah
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang..

Manusia adalah merupakan sebahagian makhluk daripada sekelian makhluk ciptaan Allah. Dengan kejadiannya sebagai mahkluk ini lah, selamanya manusia mempunyai sifat dan sikap untuk bertuhan dan bergantung kepada sesuatu. Hal ini dibuktikan terutamanya ketika manusia ditimpa musibah dan kesusahan, bahkan seorang atheis yang tidak bertuhan akan menjerit berharap kepada ‘kuasa’ yang boleh menolongnya disaat antara hidup dan mati.

Lalu Allah mengajar manusia sejak dari awal kejadiannya, memberitahu Adam supaya hanya menyembah kepadaNya. Itulah makna kebebasan yang sebenar bagi setiap anak adam. Allah adalah Khaliq (pencipta) dan selain Allah adalah Makhluq (yang diciptakan). Oleh sebab itu, selagi manusia tidak tunduk kepada Allah, maka dia sebenarnya tidak merdeka dan menjadi hamba kepada makhluk.

Bagi manusia yang tidak merdeka ini, mereka sebenarnya terjajah menyembah sesama makhluk. Sebahagiannya menyembah secara fizikal kepada makhluk yang ternyata lebih rendah martabatnya daripada manusia, seperti batu-batu, matahari, binatang, pohon kayu dan sebagainya. Sebahagiannya pula mungkin menjadi hamba tanpa sedar menuruti apa sahaja arahan daripada manusia lain meskipun ia bercanggah dengan arahan Allah dan logik pandangannya sendiri.

Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai tuhan selain dari Allah dan juga mempertuhankan Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan – Taubah:31

Termasuk jugalah sebahagian manusia yang menyembah fahaman-fahaman yang direka oleh manusia, contohnya kelompok Komunis yang kononnya tidak bertuhan, pada hakikatnya penyembah kepada pemikiran Marx yang akhirnya terbukti gagal. Begitulah juga bagi atheis dan free thinker, beranggapan bahawa mereka bebas merdeka, sedangkan hakikatnya mereka adalah hamba kepada hawa nafsu dan serakah mereka sendiri.

Tidakkah engkau lihat, mereka yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan yang dipatuhinya dan dia pula disesatkan oleh Allah dalam pengetahuanNya. Dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya. Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya sesudah Allah? Oleh itu, mengapa kamu tidak ingat dan insaf? – alJathiyah:23

Bahkan usaha memerdekakan diri daripada kongkongan nafsu diri adalah usaha yang mungkin lebih sukar berbanding memerdekakan diri daripada belenggu penjajah secara fizikal.

Poster-MerdekaAyuh, merdekakan diri kita daripada hawa nafsu, baru lah kita boleh mengimpikan kemerdekaan tanah air ini..!! “Kita pulang dari Jihad Perang dan kita menuju kepada Jihad yang tidak kurang sengitnya.. iaitu Jihad Menentang Hawa Nafsu”

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..”

abi.Usamah
Ustaz Mohd Zulkifli Ibrahim
YDP ISMA cawangan Kemaman

© 2012 Theme By Momizat

Scroll to top