You Are Here: Home » ISMA Kemaman » Belia Kemaman » KLS 2016 jelaskan cabaran kehidupan selepas sekolah

KLS 2016 jelaskan cabaran kehidupan selepas sekolah

_DSC0990 rev1 caption_compress

CHUKAI, 23 Januari – Karnival Lepasan Sekolah 2016 (KLS 2016) anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) berjaya memberikan pendedahan tentang cabaran yang akan datang selepas alam persekolahan selain menghimpunkan pelajar-pelajar lepasan sekolah di sekitar Dungun dan Kemaman di sini hari ini.

Jelas Encik Mohd Aiman Bin Mohd Bustamin selaku Pengarah KLS 2016 peringkat Kemaman dan Dungun ini, “Besar harapan kami untuk melihat segala ilmu dan pengajaran yang dikongsikan dalam KLS hari ini dapat digunakan dan diamalkan oleh peserta dalam mendepani cabaran yang lebih besar dalam kehidupan mereka yang akan datang.”

“Insya Allah, saya yakin dengan keazaman yang tinggi dan usaha yang tidak pernah kenal putus asa, mereka boleh menempa kejayaan yang lebih cemerlang pada suatu hari nanti,” ulas beliau lagi.

Menurut pelajar lepasan Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, Mohd Khairil Latif bin Alias, 18, KLS 2016 ini telah memberikan kepadanya panduan arah tuju untuk menyambung pelajaran selepas SPM bersama tips dalam menjalani temuduga untuk mendapatkan biasiswa atau pinjaman daripada penaja berpotensi serta petunjuk untuk menjalani hidup sebagai seorang muslim.

Apa yang menarik, KLS 2016 edisi kali ini telah berjaya menarik minat beberapa IPT di sekitar Dungun dan Kemaman untuk turut bersama mendirikan pameran dan memberikan penerangan kepada para peserta yang hadir.

Peserta yang hadir juga telah didedahkan dengan pelbagai segmen yang menarik seperti segmen ‘What’s Next’ dan segmen ujian mengenali personaliti diri yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah.

Selain itu, peserta juga dapat mendengar dan bertanyakan soalan dalam segmen forum cabaran hidup di kampus dengan penampilan khas ahli kumpulan Tarbiah Sentap, saudara Ahmad Shukery Azizan.

Pada masa yang sama, peserta juga turut dapat mendengar perkongsian pengalaman dan bertanya soalan tentang industri minyak dan gas oleh Tuan Haji Ahmad Komarolaili bin Abu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Upstream Downstream Process and Services Sdn Bhd. dan dalam bidang perubatan dan paramedik oleh Doktor Nor Ruzaini binti Sulaiman.

Individu yang berminat untuk menyertai program anjuran KRIM boleh berhubung dengan saudara Afandi (013-791 8344) atau berhubung dengan saudara Firdaus (013-373 7090) untuk program anjuran PEMBINA.

© 2012 Theme By Momizat

Scroll to top