You Are Here: Home » ISMA Kemaman » KRIM Kemaman » Ramadhan Outreach kenalkan Remaja kepada Golongan Serba Kekurangan

Ramadhan Outreach kenalkan Remaja kepada Golongan Serba Kekurangan

IMG_20150705_061440

CHUKAI, 27 Jun – “Kita mungkin berasa kesusahan yang kita alami adalah yang paling susah, namun seperti yang kita lihat pada hari ini, terdapat lebih ramai saudara seagama kita yang lebih susah berbanding kita” pesan En Muhamad Afandi Azan, Pengarah Program Ramadhan Outreach kepada peserta program hari ini di sini.

Jelas beliau lagi, “Hari ini kita telah merasai pengalaman itu sendiri dengan melawat dan memberi sumbangan Ramadhan kepada para pesakit di Hospital Kemaman dan juga keluarga serba kekurangan di kawasan Kuala Kemaman”.

“Program anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia (KRIM) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah disertai oleh lebih kurang 60 orang remaja dan belia ini dan merupakan program sulung serentak di seluruh negara dalam siri Program Akademi Remaja KRIM (ARK) yang bakal berlangsung sehingga hujung tahun ini”, terang beliau merangkap Pengarah ARK peringkat Daerah Kemaman

Menurut salah seorang peserta, Mohd Amru bin Ab Razak, 16, pengalaman pertama menyertai program seumpama ini amat membuka minda apabila dapat melihat kesusahan keluarga yang tinggal di kediaman yang amat serba kekurangan termasuk ada yang tiada elektrik di kediaman mereka.

“Ini membuatkan saya berasa lebih bersyukur dengan keadaan saya dan mengambil iktibar meneruskan usaha membantu saudara seagama yang berada dalam kesusahan” simpul beliau.

Pada masa yang sama, Pengarah KRIM Kemaman, Raja Muhd Shamsuri Raja Ramli turut memperkenalkan siri program ARK kepada para peserta termasuk Ramadhan Outreach, Bangkit Amal Di Akhir Ramadhan (BADAR), ‘Zero to Hero’, Seminar ‘Belajar Power’, ‘Fit and Fun’, Kejohanan Sukan (KASRIM), ‘My Bakat’ dan Program Kemuncak ARK.

Ulas Raja Shamsuri, siri Program ARK ini mempunyai modul pembangunan yang tersendiri dan dihasilkan berdasarkan analisa Unit Kajian KRIM terhadap rata-rata remaja Muslim di Malaysia pada hari ini dan ARK dibuka kepada pelajar tingkatan 4 di seluruh negara.

Remaja yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut atau ingin menyertai ARK di daerah Kemaman boleh berhubung dengan di talian 013-791 8344 (Afandi) atau 013-439 6973 (Hawa).

KRIM Kemaman juga ingin mengucapkan terima kasih kepada individu dan NGO seperti I-Medik dan Yayasan Ikhlas kerana membantu menjayakan Program Ramadhan Outreach kali ini, simpul Afandi menutup kata-kata beliau.

IMG_20150705_06141911142416_922831184445917_2020752706584796629_n

Gambar-gambar program boleh didapati DI SINI

© 2012 Theme By Momizat

Scroll to top