You Are Here: Home » Malaysiaku » Usaha Terengganu kaunseling remaja tak senonoh patut dicontohi

Usaha Terengganu kaunseling remaja tak senonoh patut dicontohi

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 24 Feb – Tindakan kerajaan negeri Terengganu yang akan memberi bimbingan kaunseling kepada wanita dan lelaki, terutama remaja yang ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh serta mendedahkan tubuh patut dicontohi negeri-negeri lain.

hotKetua Wanita ISMA, Dr Norsaleha Mohd Salleh berkata, sesuatu perlu dilaksanakan untuk menyedarkan masyarakat bahawa mendedahkan tubuh pada pandangan awam dan sebagainya adalah dilarang dalam Islam.

“Rakyat perlu disedarkan mengenai penghayatan Islam yang sebenar melalui cara hidup yang berlandaskan syariat.

“Rakyat memerlukan sentuhan agama yang boleh mencetuskan keimanan kepada Allah SWT, menyedari hari pembalasan di akhirat dan semua tuntutan Rukun Iman yang lain,” katanya ketika dihubungi wartawan ISMAweb.

Kenyataannya itu sebagai mengulas tindakan kerajaan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) untuk menahan mana-mana wanita dan lelaki berkelakuan tidak senonoh dan mendedahkan bahagian tubuh pada pandangan awam.

Golongan yang ditahan akan diberi kaunseling bersama ibu bapa mereka.

Dr Norsaleha berkata, arahan kerja kemasyarakatan dan kaunseling sebenarnya tidak mencukupi bagi mendidik dan membimbing pesalah yang dimaksudkan.

“Untuk itu, ibu bapa perlu disedarkan kewajipan pendidikan agama kepada anak-anak. Jangan dilepaskan tanggungjawab mendidik agama hanya kepada ustaz dan ustazah di sekolah sahaja.

“Kita mahu mereka berubah dengan ikhlas dan jujur, bukan perubahan yang bersifat sementara,” tegasnya.

-IsmaWeb-

© 2012 Theme By Momizat

Scroll to top