You Are Here: Home » ISMA Kemaman » Usaha Terengganu kuatkuasa Jenayah Syariah disambut baik ISMA

Usaha Terengganu kuatkuasa Jenayah Syariah disambut baik ISMA

Usaha Terengganu kuatkuasa Jenayah Syariah disambut baik ISMA

CHUKAI, 18 Februari – “Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di Kemaman secara dasarnya menyambut baik segala usaha kerajaan negeri Terengganu memperkasakan nilai-nilai Islam dan menguatkuasakan undang-undang Islam di kalangan masyarakat khususnya di Terengganu”, jelas Ustaz Haji Mohd Zulkifli Ibrahim, Yang Dipertua ISMA cawangan Kemaman.

Beliau dipetik ketika diminta mengulas laporan berita tentang penguatkuasaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang akan dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan bermula dengan Ops Penguatkuasaan Tahun baharu Cina ini.

Ulas Ustaz Zulkifli lagi, “Kesungguhan penguatkuasaan peraturan berteraskan ajaran agama Islam adalah amat penting dan sewajarnya diterima oleh segenap lapisan masyarakat lebih-lebih lagi umat Islam di Terengganu yang sepatutnya mendalami serta meyakini perlaksanaan undang-undang berteraskan Islam.”

“Asas hukum syariah agama Islam adalah untuk melindungi dan memelihara lima maqasid yang amat penting bagi kita iaitu akal, agama, harta, nyawa dan keturunan. “

“Oleh itu, kita yang meyakini kepentingan lima perkara ini, sepatutnya menyokong penuh sebarang usaha yang dilakukan untuk memperkasakan keadilan dan keindahan Islam di tanah air kita dan di negeri Terengganu secara khususnya.”.

“Di samping itu, usah dipinggirkan usaha-usaha yang digerakkan secara bersepadu dalam mendidik kefahaman Islam terhadap masyarakat yang penting untuk dilaksanakan seiring perlaksanaan penguatkuasaan ini”, tegas beliau.

Akhir sekali, harap Ustaz Zulkifli, “Walaupun usaha ini dilihat sebagai langkah ke hadapan dalam pensyariatan undang-undang Islam di dalam masyarakat, namun saya melihat masih banyak dana dan sumber perlu disalurkan demi memenuhi usaha murni ini sebagaimana kita lihat kesungguhan usaha kerajaan negeri Terengganu membangunkan sosio-ekonomi dan infrastruktur di negeri ini.”

Laporan oleh,

Ahmad Rafiuddin Ab Ghani

Wartawan ISMA

© 2012 Theme By Momizat

Scroll to top